Monday, August 17, 2009

Ramalan H Satu N Satu


Agak 'meriah' berita penyebaran dan jangkitan H1N1 di negara kita sejak akhir-akhir ini. Virus H1N1 atau nama lainnya Influenza A/ Selsema babi (Swine Flu) ini dikatakan terhasil daripada mutasi gen virus influenza babi, burung, dan manusia. Sesetengah pihak percaya penyebaran virus ini adalah sebahagian daripada konspirasi organisasi tertentu bertujuan untuk melariskan jualan vaksin dan penawar virus ini. Tidak kurang juga yang berpendapat penyebaran virus ini adalah untuk mengurangkan populasi manusia di dunia bagi mengurangkan kesan krisis makanan sedunia (!?).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema ini jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti H1N1.

Memandangkan jumlah pesakit dan kes kematian yang semakin meningkat setiap hari, cuba bayangkan apa akan terjadi dalam masa 5 ke 6 bulan akan datang dan langkah-langkah yang kemungkinan diambil bagi membendung penularan penyakit ini:

1) Satu arahan mungkin dikeluarkan mewajibkan pemakaian surgical mask ditempat-tempat tertentu seperti sekolah, hospital, klinik, stesen bas, komuter dan lapangan terbang. Guru-guru mungkin hanya dibenarkan membuka surgical mask ketika mengajar sahaja atau pun tak perlu mengajar lansung buat sementara waktu, bagi nota sahaja.

Di stesen KL Central pula mungkin akan dipenuhi dengan penumpang-penumpang yang memakai surgical mask termasuk 'polis' yang mengawal garisan 'kuning' di tepi landasan. Ketika itu mungkin tidak kedengaran bunyi wisel daripada 'polis' penjaga garisan tersebut sekiranya anda melebihi garisan kuning, dengan alasan tak mahu membuka mulut, takut 'tersedut' virus H1N1 ke dalam mulut.

2) Satu kawalan ketat di pintu masuk sempadan dan lapangan terbang akan diambil melibatkan pemeriksaan suhu badan setiap penumpang yang turun setiap hari. Mungkin juga ada desakan pihak-pihak tertentu untuk melarang kemasukan kapal terbang dari negara-negara yang dijangkini virus ini tapi aku pasti pihak kerajaan tidak akan mengambil langkah sedemikian kerana melibatkan pelbagai prosedur, kos, serta mungkin akan menjejaskan industri pelancongan negara. Walaupun aku tak tahu berapa ramai yang sanggup untuk melancong ketika berlakunya penularan virus ini, namun aku pasti masih ramai yang masih 'sudi' untuk menghabiskan masa melancong di negara orang.

3) Kadar jenayah meningkat terutama kes ragut, samun dan rompakan. Budaya memakai topeng muka akan memudahkan penjenayah-penjenayah ini melakukan jenayah ini apabila turut memakai surgical mask semasa malakukan jenayah. Kejadian meraba dalam keretapi komuter juga mungkin akan berleluasa..jaga-jaga..:).

4) Munculnya golongan yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan. Mungkin akan berleluasanya ubat-ubatan tradisional dan moden yang kononnya berupaya untuk menyembuhkan penyakit H1N1. Itu belum termasuk petua-petua mengelakkan penyakit H1N1 yang tersebar melalui SMS dan Email. Harga surgical mask juga mungkin akan meningkat naik kesan daripada permintaan yang tinggi oleh orang ramai. Aku cadangkan agar pihak kerajaan membekalkan topeng penutup hidung ini secara percuma di tempat-tempat tertentu seperti di sekolah dan sebagainya.

Harga barangan keperluan harian seperti gula dan beras akan meningkat naik. Orang ramai akan membeli barangan keperluan ini dalam kuantiti yang banyak sebagai stok simpanan di rumah. Permintaan barangan yang melebihi pengeluaran akan meningkatkan lagi harga barangan.

5) Rekod kelahiran bayi akan menjadi rendah. Golongan ibu-ibu mengandung merupakan golongan paling berisiko terkena jangkitan dan berlakunya kematian akibat jangkitan H1N1. Para saintis dari Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat mendapati kadar wanita hamil yang dimasukkan ke hospital disebabkan jangkitan penyakit itu adalah empat kali lebih tinggi berbanding kes biasa. Langkah mengelakkan diri dari 'membuat anak' mungkin diambil oleh pasangan yang telah berkahwin untuk mengelakkan risiko tersebut.

6) Aktiviti malam seperti menonton perlawanan bola sepak EPL di kedai mamak, berpeleseran di di kelab-kelab malam dan menonton midnight movie di panggung wayang mungkin akan berkurangan. Aktiviti malam golongan ini mungkin akan diganti dengan aktiviti bermain PS3 di rumah, menulis blog, dan solat tahajud.

7) Ubat khas untuk merawat H1N1 seperti antiviral, Oseltamivir (Tamiflu), dan Zanamivir (Relenza) mungkin tidak lagi relevan digunakan kerana pertambahan jumlah pesakit yang sangat ketara. Keadaan yang sesak di hospital-hospital dengan pesakit-pesakit influenza dan keadaan fasiliti seperti katil pesakit yang terhad memburukkan lagi keadaan. Pesakit-pesakit akan akan dibekalkan ubat-ubatan yang terhad dan diminta untuk merawat diri di rumah sahaja. Pesakit akan dinasihatkan menjaga kebersihan dan diarahkan tidak keluar rumah termasuk keluar bekerja. Jangan risau, MC (medical certificate) akan diberi.

8) Vaksin yang akan diperolehi nanti akan di berikan kepada golongan berisiko tinggi akibat Influenza A dahulu iaitu;
a) Kanak-kanak berusia kurang 5 tahun• Golongan tua (65 tahun ke atas)
b) Golongan berumur 18 tahun ke bawah yang menggunakan terapi aspirin untuk jangkamasa yang panjang
c) Wanita mengandung
d) Pesakit asma, penyakit pernafasan kronik obstruktif, kegagalan organ, penyakit kardiovascular, hepatik, heamatologikal, neurologik, neuromuscular atau masalah metabolik seperti Diabetes Mellitus
e) Pesakit daya ketahanan badan yang rendah (immunosuppression)

Jumlah tempahan vaksin H1N1 mungkin tidak dapat menampung keperluan semua penduduk Malaysia. Yang lain kena tunggu giliran anda.

Apa pun yang penting pada ketika ini hendaklah seluruh rakyat menjaga kebersihan diri dan mengamalkan langkah-langkah yang betul bagi membendung penularan wabak ini. Basuh tangan secara kerap dan elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut adalah satu langkah yang perlu diambil perhatian oleh setiap individu. Sesetengah virus boleh hidup melebihi 2 jam di permukaan-permukaan seperti meja, kerusi, dan tombol pintu. Membasuh tangan secara kerap akan mengurangkan kesan pencemaran pada bahagian-bahagian ini.

P/s: Selamat berpuasa...


2 comments:

Anonymous said...

R nama diberi: pergh.. k dh de blog! sabbas!

'K' said...

R : Dah lame ade... Ni baru punya..
Bujang Susah : Thank for da info..