Saturday, August 29, 2009

Menjelang 1 September


Hari ini adik aku mengisi petrol kereta kancil 850 miliknya dengan RON95. Selepas beberapa ketika, kereta tu mengalami penyakit 'semput' sebelum mengalami 'kematian' ketika berhenti di lampu isyarat. Hanya selepas berlaku sekali lagi 'kematian' barulah adik aku selamat sampai ke rumah. Agak memalukan sebenarnya apabila kereta dengan transmisi automatik mati di jalan. Kalau manual lain la. Sebab musabab yang jelas berkenaan 'kematian' itu tak dapat aku pastikan. Mungkin bedah siasat boleh menjawab segalanya. Apa yang pasti RON95 tu tak sesuai untuk model kancil 850-transmisi automatik-keluaran 2001 milik adik aku.

Kerajaan telah perkenalkan RON95 bagi menggantikan RON92 dan dalam masa yang sama menaikkan harga bagi RON97. RON97 adalah jenis petrol yang digunakan oleh kebanyakan rakyat malaysia waktu kini. Harga untuk RON95 nanti adalah 5sen lebih mahal daripa harga RON 92 kini iaitu RM1.75 dan bagi RON97 pula dinaikkan sebanyak 20sen menjadikan harganya RM2.00 menjelang 1 September nanti (2 hari lagi). Menurut sumber, minyak RON97 merupakan minyak bergred premium dan kebanyakkan kereta hari ini tidak memerlukan minyak gred setinggi itu.

R.O.N adalah singkatan kepada Research Octane Number yang berkaitan dengan campuran bahan asas oktana dan pentana. Kedua-dua campuran inilah yang melengkapkan sifat bahan bakar petrol. Nombor pada RON mewakili peratusan oktana dalam campuran tersebut. RON95 bermaksud 95 peratus kandungan dalam campuran tersebut adalah oktana dan selebihnya adalah pentana. Oktana berperanan untuk menahan tekanan dalam kebuk pembakaran dan mempunyai sifat mengembangkan tekanan dengan baik. Manakala pentana pula hanya melambatkan proses timbal balik. Maka secara teorinya RON yang lebih tinggi adalah lebih baik. RON yang lebih tinggi juga lebih baik untuk alam sekitar. Buat pengetahuan, keseluruhan kenderaan di Jepun menggunakan RON100 sebagai bahan bakar kenderaan mereka.

Walaupun RON97 secara teorinya lebih baik dari RON95, kualiti sesuatu petrol itu sebenarnya bergantung juga kepada 'ramuan' para pengeluar petrol. RON hanya piawai yang perlu ditetapkan oleh setiap pengeluar minyak dan dalam masa yang sama para pengeluar petrol mempunyai cara sendiri dalam meningkatkan kualiti produk RON masing-masing. Petrol yang mempunyai sifat membersih, lebih kilometer dan ketahanan kepda suhu adalah antara rumusan tambahan yang digunakan untuk meningkatkan lagi kualiti sesuatu petrol itu.

Untuk kes seperti kereta kancil adik aku ni, aku cadangkan agar meneruskan penggunaan RON97 seperti sebelum ini. Bayar harga lebih sedikit mungkin lebih baik daripada mengalami masalah enjin dikemudian hari. Sekiranya sesebuah enjin kereta hanya cukup untuk pembakaran RON95 sahaja, lebih baik menggunakan petrol RON95 sahaja, jangan membazir duit untuk menggunakan RON97, boleh buat bayar 'Zakat Fitrah' pada bulan Ramadahan ni. Tetapi sekiranya enjin kereta anda dicipta untuk membakar RON97, penggunaan RON95 adalah tidak digalakkan bagi mengelakkan masalah 'ketukan' (knocking) pada enjin.

Cara lain yang boleh digunakan adalah dengan mencuba RON95 jenama pengeluar petrol yang lain (buat pengetahuan, adik aku menggunakan petrol RON95 di stesen Shell semasa kejadian 'semput' itu berlaku). Mungkin keupayaan dan ramuan petrol tersebut tidak bersesuaian dengan enjin kancil. Kereta lain mungkin lebih baik. Ramuan setiap pengeluar yang berlainan adalah satu faktor penting dalam pemilihan petrol. Mungkin RON95 di stesen X lebih baik dari stesen Y. Atau mungkin juga RON95 di stesen Y lebih baik daripada RON97 di stesen X. Semuanya bergantung kepada tahap enjin masing-masing.

Macam mana dengan kereta aku? Aku belum mencuba lagi RON95 dimana-mana stesen minyak tetapi aku difahamkan enjin Campro (aku guna SAGA 1.3) boleh menggunakan RON95 tanpa sebarang masalah ketukan enjin. Adakah ini salah satu langkah kerajaan untuk melariskan jualan Proton termasuk proton EXORA di negara kita? Aku tak pasti. Mungkin masalah pick up akan berlaku pada pemilik kenderaan seperti Honda sekiranya menggunakan RON95 pada kenderaan mereka. Sekiranya enjin Campro benar-benar sesuai bagi penggunaan RON95 maka pembeli kereta baru mungkin akan mempertimbangkan pembelian Proton sebagai kenderaan mereka.

3 comments:

abcdef said...

pick up kete aku agak lmbt bila aku pki jenis 95 tu

'K' said...

Kereta aku pun x pick lpas bubuh 95..aku hanya mampu melihat kereta lain bertalu-talu memotong kereta aku..cis.

LLL said...
This comment has been removed by a blog administrator.